Golongan saintis moden yang beragama mula menghasilkan hubungkait antara agama dan sains bagi menjawab kembali salah faham golongan Scientism terhadap agama. Kebanyakan yang terlibat adalah dari kalangan saintis Kristian dan Islam. Mereka mula menghimpunkan kajian Sains yang selari dengan agama dan membuktikan bahawa agama tidak memusuhi sains.
Pengharaman Arak: Begitu juga masalah yang sama berlaku kepada isu lain. Persoalan kenapa arak diharamkan? maka dibawa kajian yang menyatakan bahawa apabila meminum arak ia akan memberi masalah radang pada kulit, memabukkan sehingga hilang kewarasan, dan sebagainya. Sekiranya ia digaris sebagai hikmah itu masih boleh dibincangkan, akan tetapi sekiranya dinyatakan masalah arak itu adalah sebab kepada pengharamnya maka ia memberi masalah. Hujah sebeginilah digunakan oleh golongan Kristian yang mengharuskan meminum arak padahal di dalam Bible jelas mengharamkan mereka meminum arak. Ia dipanggil kaedah menafsirkan Bible dengan hermaneutik. “Oleh itu jagalah dirimu baik-baik. Jangan minum wain atau minuman keras dan jangan makan makanan haram.” (Hakim-Hakim 13: 4) Mereka membawa pernafsiran bahawa ayat itu turun di padang pasir di timur tengah. Suasana yang panas dan keadaan yang kering itu mempengaruhi sebab pengharaman arak. Meminum arak dalam keadaan sebegitu akan menyebabkan keradangan pada kulit dan menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan. Mereka faham situasi inilah yang menyebabkan arak itu di larang dalam Bible. Maka mereka membuat alasan sekiranya arak itu diminum di kawasan yang sejuk maka ia dibolehkan, ini kerana kajian saintifik membuktikan bahawa arak boleh berperanan memanaskan badan. Golongan Kristian juga memahami larangan meminum arak hanya untuk golongan yang minum berlebihan yang hanya mencari kemabukan semata. Ini kerana menurut kajian dalam jurnal New England Journal of Medicine melaporkan, minuman arak mampu mengurangkan risiko serangan jantung. Maka mereka mula menghujahkan arak dalam kuantiti sedikit itu dibolehkan. Sebab itulah pada pengharaman arak ini Allah SWT tidak menafikan ada kebaikan kepada arak, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya..” (Al Baqarah: 219) Akan tetapi mudharat dan keburukan itu lebih besar daripada kebaikan yang ada pada arak. Akan tetapi itu tidak menjadi alasan untuk orang Islam menghalalkan arak yang telah jelas diharamkan oleh Allah dalam al Quran. Sebab itulah penafsiran secara hikmah dan saintifik itu perlu berhati-hati kerana ia boleh menjadi hujah juga kepada golongan yang tidak mahu menurut perintah Allah mengikut penafsiran kaedah mereka. Ringkasnya, sains tidak sempurna, banyak kajian yang dipegang oleh saintis pada suatu masa akan diganti dengan paradigma lain tidak lama selepas itu. Kesimpulannya al Quran itu bukanlah buku sains, buku sejarah dan buku sastera. Ia adalah kitab wahyu yang memiliki hikmah yang menjadi petunjuk bagi kebenaran.
No comments:
Post a Comment