Kesimpulannya, arak memudaratkan dan memberikan kesan yang buruk kepada agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta yang menjadi perkara penting untuk dipelihara selaras dengan prinsip maqasid syariah.
Maka tidak hairan jika ia disifatkan sebagai kunci segala kejahatan dan punca segala kerosakan serta kemungkaran sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan."
Di Malaysia misalnya, beberapa tahun kebelakangan ini, kes kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk begitu ketara sehingga mengakibatkan kematian orang tersayang. Begitu juga kes pembunuhan insan yang tidak bersalah, merogol dan memperkosa berlaku disebabkan kesan buruk akibat pengambilan arak. Berdasarkan kajian, kesan buruk pengambilan alkohol dan arak termasuk memperlahankan tindak balas, membataskan dan menjejaskan penglihatan, mengganggu fokus dan tumpuan, tubuh badan tidak bermaya, melakukan tindakan yang tidak rasional dan pelbagai kesan fizikal dan mental yang lain.
Hakikatnya, syariat dan hukum pengharaman arak khususnya bagi umat Islam lebih 1,400 tahun yang lalu adalah bertujuan memelihara kesejahteraan kehidupan manusia dan masyarakat sama ada dari aspek fizikal, mental dan spiritual. Justeru usahlah diragui segala hikmah yang terkandung dalam syariat ciptaan Tuhan, kerana hanya dengan kehidupan yang berlandaskan syariat dapat melahirkan insan berkualiti sekali gus membangunkan ketamadunan ummah yang gemilang dan harmoni.
No comments:
Post a Comment